NABI MUHAMMAD SAW – CAHAYA PETUNJUK AKHIR ZAMAN
Di kala Aminah melahirkan bayinya,
Dunia terang bermandikan cahaya,
Cahaya yang amat kita perlukan,
Petunjuk jalan kebahagian.
Dunia terang bermandikan cahaya,
Cahaya yang amat kita perlukan,
Petunjuk jalan kebahagian.
(Syair Al-Abbas bin Abdul Mutalib)
Kelahiran
Keheningan pagi Isnin, 12 Rabiulawal, Tahun Gajah bersamaan 20 April 571
Masihi seisi alam Makkah al-Mukarramah dikejutkan dengan suara tangisan
seorang bayi lelaki. Lahirnya diterangi dengan cahaya petanda dirinya
bakal menerangi seluruh alam sebagai Rasul terakhir. Begitulah
istimewanya kelahiran putera Siti Aminah dan Abdullah.
Fatimah
al-Thaqfiyah yang menyaksikan kelahiran nabi junjungan berkata, “Saya
saksikan ketika Siti Aminah melahirkan bayi yang kemudian ternyata
menjadi pemimpin dunia. Saya lihat rumah tempat bayi itu dilahirkan
bermandikan cahaya. Bintang-bintang kelihatan sangat dekat, sehingga
saya bimbang kalau-kalau bintang itu jatuh di atas kepala saya.”
Kelahiran
Nabi Muhammad SAW disambut dengan gembira oleh keluarganya terutamanya
Abdul Muttalib. Seminggu kemudian, datuknya Abdul Muttalib mengadakan
jamuan sempena memberi nama seperti yang dimimpikan oleh Siti Aminah
iaitu Muhammad yang membawa maksud orang yang terpuji.
Oleh kerana
keturunan Baginda adalah mulia di kalangan Quraisy, kita tidak temui isi
keturunan menjadi bahan celaan mereka terhadap Baginda. Kaum Quraisy
tidak menafikan betapa tingginya darjat dan susur galur keturunan
baginda. Ini disebabkan kemuliaan keturunan Baginda cukup jelas kepada
mereka. Banyak riwayat menceritakan Quraisy telah mencela baginda dengan
banyak isu yang direka-reka tetapi bukan membabitkan isu keturunan.
Nabi
Muhammad kemudiannya disusui oleh jariah (hamba perempuan) Abu Lahab,
bernama Thuwaibah al-Aslamiyah. Selepas beberapa hari, Nabi Muhammad
S.A.W diserahkan pula kepada Halimatusaadiah dari perkampungan Bani
Sa’ad. Kampung itu jauhnya kira-kira 50 km dari Makkah ke arah Taif.
Adat menyerahkan bayi kepada ibu susu ini merupakan kebiasaan bangsawan
Arab. Nabi Muhammad S.A.W berada di bawah jagaan Halimatusaadiah
sehingga usia nabi mencecah empat tahun.
Baginda
menghabiskan empat tahun pertama zaman kanak-kanak di padang pasir, di
perkampungan Bani Saad. Oleh itu Baginda membesar dengan tubuh yang
kuat, jasmani yang sejahtera, lidah yang bersih, jiwa yang berani dan
mampu menunggang kuda dengan baik sekali pun masih kecil usianya.
Bakat-bakat baginda terasah dalam kemurnian dan keheningan padang pasir
di bawah kilauan pancaran matahari dan udara bersih.
Sepanjang
masa Muhammad tinggal bersama-samanya, hidup Halimatusaadiah sekeluarga
menjadi senang, rezekinya bertambah, kambingnya membiak dan kebunnya
menjadi. Malah, dikisahkan Halimah sendiri merasa hairan kerana
kambingnya tiba-tiba saja menjadi gemuk semenjak kedatangan Muhammad.
Itulah keajaiban Tuhan, memberi petanda bahawa Muhammad itu bukan insan
biasa sebaliknya bakal pembawa cahaya dan kebenaran.
Muhammad
pula begitu sihat dan cerdas. Dia hidup di kalangan masyarakat yang
tidak terpengaruh dengan amalan menyembah berhala dan melakukan maksiat.
Muhammad dapat mempelajari bahasa Arab yang tulen. Dia juga dapat
mempelajari cara hidup masyarakat desa yang hidup bertani dan menternak
kambing serta kaya dengan budi bahasa dan beradab.
Dada Rasulullah Dibedah Jibril A.S
Tempoh dua
tahun telah berlalu, tiba sudah saat Baginda dikembalikan kepada Siti
Aminah. Namun berat sekali rasanya untuk Halimatusaadiah melepas anak
susuannya pergi. Lantas dipujuk Siti Aminah agar dapat memberi keizinan
memelihara Nabi barang setahun dua lagi. Tambahan pula, rasa kasih pada
Muhammad sudah melebihi anak sendiri. Akhirnya, Halimatusaadiah berjaya
memujuk Siti Aminah untuk terus memelihara walaupun anak susuannya itu
telah habis tempoh penyusuannya, iaitu dua tahun.
Dikatakan
ketika baginda berusia dalam lingkungan empat atau lima tahun maka
berlakulah peristiwa ajaib iaitu dada baginda dibedah oleh malaikat.
Muslim
meriwayatkan daripada Anas bahawa Rasulullah pernah didatangi malaikat
Jibril ketika baginda masih kanak-kanak dan sedang bermain dengan
kanak-kanak sebaya yang lain.
Jibril yang
lazimnya muncul dalam rupa seperti manusia telah menangkap baginda lalu
tanpa membuang masa, dada Nabi Muhammad telah dibelah terutama di
bahagian organ hati lalu dikeluarkan organ itu.
Daripada
organ itu, Jibril telah mengeluarkan sebuku darah, sesetengah riwayat
mengatakan sebuku darah itu berwarna hitam lalu mereka berkata: “Inilah
bahagian syaitan yang ada padamu!”
Lalu organ
hati itu dimasukkan ke dalam sebuah tembikar emas lalu dibasuhkan hati
itu dengan air zam zam. Hati yang telah dicuci bersih itu kemudiannya
dikembalikan semula ke tempat asalnya dan dada Rasulullah dicantumkan
semula. Rasulullah SAW dikatakan terpinga-pinga dengan kejadian yang
menimpa baginda itu. Tetapi berbeza dengan mereka yang menyaksikan
bagaimana Nabi Muhammad telah ditangkap dan dibedah dadanya itu.
Belum sempat
mereka menyaksikan kejadian itu sehingga habis dan Jibrail hilang dari
pandangan, dalam serba ketakutan rakan-rakan Rasulullah itu kemudiannya
berlari kepada ibu susu baginda, Halimah dan memberitahu bahawa Nabi
Muhammad telah dibunuh oleh seorang lelaki. Mereka berkata dengan cemas:
“Muhammad telah dibunuh! Muhammad telah dibunuh!”
Lalu apabila
mereka kembali semula ke tempat kejadian, didapati Nabi Muhammad berada
dalam keadaan selamat tanpa sebarang kecederaan. Kejadian yang penuh
makna itu, bagaimanapun telah menimbulkan kebimbangan di hati Halimah.
Beliau begitu bimbangkan mengenai soal keselamatan Nabi Muhammad dan
jika terjadi sebarang yang tidak diingini tentu sahaja beliau tidak
dapat melindungi anak yatim itu.
Ini
menyebabkan Halimah merasakan sudah tiba masanya beliau terpaksa juga
berpisah dengan Rasulullah demi kebaikan anak itu sendiri. Walaupun
perpisahan itu bakal mencalarkan kebahagiaan beliau selama ini kerana
dapat membesarkan seorang anak yang sebaik Rasulullah. Namun beliau
sedar anak susuannya perlu kembali ke tempat asal usulnya di mana
baginda dilahirkan dahulu.
Mulianya
tingkah laku Nabi Muhammad S.A.W seawal kecil sudah jelas terpancar
apabila dia pernah menolong budak yang diusik oleh budak-budak nakal dan
diajaknya ke rumah ibu susunya. Dia merelakan bajunya diberikan kepada
budak yang malang itu. Ketika usianya lima tahun dia dikembalikan kepada
ibunya, Siti Aminah.
Berpisahlah
Halimatul Saadiah dengan anak susuan yang selama ini menjadi penyeri
hatinya. Sudah bertaut kasih dan sayang di hatinya terhadap Muhammad
sehingga kalau boleh tidak ingin lagi mereka terpisah. Bagi Nabi
Muhammad, jasa ibu susuannya itu tetap dikenang sehingga baginda pernah
bersabda yang bermaksud; “Bahawa dia (Halimatus Saadiah) adalah ibuku
setelah ibuku sendiri”
Kehilangan Bonda Tercinta
Baginda
membesar sebagai anak yatim. Bapa Baginda, Abdullah meninggal dunia
ketika ibu baginda baru mengandungkan baginda dua bulan. Abdullah telah
meninggal dunia semasa dalam perjalanan pulang berniaga dari Syam.
Tinggallah
Nabi Muhammad SAW bersama ibunya. Baginda diasuh oleh ibunya dengan
belaian kasih sayang. Apabila usianya menjangkau enam tahun ibunya
membawanya pergi ke Yathrib (Madinah) dengan tujuan menziarahi saudara
maranya yang mendiami Yathrib, agar Nabi Muhammad S.A.W dapat berkenalan
dengan saudara-saudaranya. Di samping menziarahi kubur ayahnya iaitu
Abdullah yang dikebumikan di sana. Inilah kali pertama, Nabi bakal
‘bertemu’ dengan ayah yang amat dirinduinya. Meski hanya melihat tanah
kuburan tetapi itu sudah cukup bagi menghilangkan kesepian hati seorang
anak yatim yang tidak pernah menerima kasih sayang seorang ayah.
Pemergian
mereka berdua turut diiringi oleh Ummu Aiman. Dalam perjalanan pulang ke
Makkah, Siti Aminah jatuh sakit dan meninggal dunia lalu dikebumikan di
Abwa. Saat paling menyedihkan sekali lagi menimpa nabi. Ibunya pula
menyusul pergi menghadap Ilahi. Tiada apa yang mampu dikatakan anak
sekecil itu ketika melihat ibu sendiri menghembuskan nafas di depan
mata. Ketika sakit tenat, Aminah sempat berpesan kepada anak
kesayangannya “Ya Muhammad, kun rajullan, li annanni saamutu”. (Wahai
Muhammad, jadilah seorang lelaki sejati kerana sesungguhnya aku akan
mati).
Pesanan itu
amat bermakna walau Nabi masih kecil untuk mengerti. Bayangkan kesedihan
yang terpaksa ditanggung oleh nabi. Usianya baru saja enam tahun, masih
inginkan pelukan manja dan perhatian sempurna daripada ibu tercinta.
Apakan daya, Allah SWT nyata ingin menguji kesabaran Nabi.
Maka
pulanglah Nabi Muhammad SAW bersama Ummu Aiman ke Makkah. Nabi Muhammad
SAW kini sudah menjadi yatim piatu. Kasih ayah tidak dirasainya, kasih
ibu sebentar sahaja. Hanya kasih Allah kekal abadi terhadapnya.
Setelah
ibunya meninggal dunia, Nabi kemudiannya dijaga oleh datuknya, Abdul
Muttalib. Kasih sayang Abdul Muttalib kepada cucunya melimpah ruah.
Sangat sedih dihatinya apabila mengenang cucu kesayangan kini sudah
tiada belaian ayah dan bonda. Sayu sekali rasanya setiap kali melihat
Muhammad termenung apabila sesekali teringatkan ibunya Aminah yang sudah
pergi. Kerana itu, Abdul Muttalib sangat melebihkan Muhammad di dalam
setiap layanannya. Bagi Muttalib, Muhammadlah buah hati utama, pengarang
jantung di kala suka dan duka. Jika boleh, ingin diberinya kasih sayang
yang melimpah ruah agar Muhamamad tidak merasa kekurangan dirinya yang
yatim piatu. Begitu sekali kasih sayang Abdul Muttalib kepada Nabi
Muhammad SAW.
Bagi Abdul
Muttalib, Nabi Muhammad SAW adalah cucunya yang paling istimewa
sehinggakan Nabi Muhammad SAW diberi tempat yang terhormat dalam
majlis-majlis yang diadakan. Pernah Abdul Muttalib menyuruh anak-anaknya
memberikan tempat duduk mereka kepada Nabi Muhammad SAW.
“Kamu mesti
mendudukkan Muhammad semula ke tempatnya, di tengah-tengah. Muhammad
buah hati, belahan jiwaku…,” beritahu Abdul Muttalib.
Keunggulan
baginda telah dikatakan sejak kecil lagi. Tampak pada raut wajahnya
tanda-tanda kecerdikan yang menimbulkan rasa sayang kepada sesiapa yang
melihat baginda. Apabila Nabi datang ke majlis datuknya semasa
kanak-kanaknya, baginda duduk di atas tilam datuknya. Sedangkan jika
datuknya duduk di atas tilam itu, tiada seorang anak-anaknya (bapa
saudara nabi) akan duduk di atasnya. Oleh itu bapa saudara baginda cuba
menariknya daripada tilam tersebut. Lantas Abdul Muttalib berkata
,”Biarkan cucuku ini. Demi Allah dia memiliki keistimewaan.”
Semasa di
bawah asuhan datuknya, Nabi Muhammad menunjukkan sikap terpujinya. Dia
pernah membantu orang yang lapar dan miskin mendapatkan bantuan daripada
datuknya, walapun orang itu memasuki rumahnya (ibunya) tanpa izin.
Malahan baginya orang itu dianggapnya sebagai tetamunya.
Nabi
Muhammad SAW tidak terpengaruh dengan cara hidup orang Makkah yang suka
berpesta dan berfoya-foya. Dia hanya menghargai sesuatu yang bermutu
misalnya pidato Qis. Dalam pidato itu Qis memperingatkan orang akan erti
hidup dan mati.
Setiap yang
hidup pasti akan merasai mati. Begitu juga dengan Abdul Muttalib yang
sudah tua. Bimbang sekali hatinya memikirkan bagaimana nasib Muhammad
setelah ketiadaannya. Cepat-cepat Abdul Muttalib menyampaikan wasiat
kepada Abu Talib agar kelak dapat menjaga Muhammad. Akhirnya perpisahan
itu tiba juga. Abdul Muttalib meninggal dunia ketika berusia 95 tahun.
Ketika itu Nabi Muhammad S.A.W berusia lapan tahun. Sekali lagi
perpisahan dengan orang tersayang dirasai Nabi. Kesedihannya terpaksa
ditanggung sendiri. Datuk yang selama ini menatangnya bagai minyak yang
penuh juga sudah pergi.
Di bawah Didikan Abu Talib
Selepas
pemergian datuknya, Abdul Muttalib, bapa saudaranya Abu Talib menerima
wasiat Abdul Muttalib untuk menjaga Nabi Muhammad SAW. Dia menerima
wasiat itu dengan penuh rasa tanggungjawab dan Abu Talib ikhlas menjaga
Nabi Muhammad S.A.W walaupun anak-anaknya sendiri sudah ramai.
Tinggallah
Nabi Muhammad SAW di rumah bapa saudaranya itu. Nabi bukanlah seorang
yang suka menumpang dan duduk berdiam diri. Malah Baginda seorang yang
ringan tulang kerana sentiasa membantu saudara-saudara sepupunya membuat
kerja rumah. Malah baginda mengambil upah menjaga kambing orang lain
untuk membantu meringankan perbelanjaan keluarga Abu Talib. Sikapnya
yang begitu menjadikan Abu Talib begitu sayangkannya.
Bukan
sekadar itu sahaja, Nabi Muhammad SAW sanggup mengharungi padang pasir
yang panas semasa mengikuti rombongan dagangan Abu Talib ke Syam.
Padahal perjalanan itu tidak mudah dan begitu jauh, sedangkan usianya
baru 12 tahun.
Ketika
kafilah dagangan itu berhenti di Busra, Pendeta Bahira memberitahu Abu
Talib akan tanda-tanda kerasulan yang ada pada Nabi Muhammad S.A.W.
Katanya kepada Abu Talib, “Bawalah pulang anak saudaramu ini. Jangan
sampai dia ditemui oleh Yahudi, nanti dibunuhnya. Anak ini kelak akan
menjadi Nabi akhir zaman.”
Peperangan Fijar
Sewaktu Nabi
Muhammad SAW berusia kira-kira 14 tahun, tercetus peperangan Fijar.
Dinamakan Fijar kerana ia terjadi dalam bulan haram iaitu bulan
Zulhijjah, Zulkaedah, Muharam dan Rejab. Peperangan ini sememangnya
dicela kerana tidak menghormati bulan-bulan yang mulia ini.
Peperangan
itu terjadi di antara suku Quraisy dan Kinanah dengan suku Hawazin dan
Thaqif. Suku Quraisy Bani Hasyim dipimpin oleh al-Zubair bin Abu
Muttalib; dibantu oleh Abu Talib, Hamzah dan al-Abbas. Manakala suku
Hawazin dipimpim oleh Qais. Nabi tidak menyukai peperangan itu. Nabi
Muhammad SAW tidak mahu terlibat dalam peperangan tersebut. Bagaimana
pun setelah dipujuk dengan alasan membantu mempertahankan diri dan kaum
Quraisy yang bertahan tidak menyerang, Nabi Muhammad SAW hanya
melibatkan dirinya bersama-sama budak lain untuk mengumpulkan anak panah
musuh. Anak panah itu diberikan kepada bapa-bapa saudaranya untuk
dipanahkan semula ke arah musuh. Peperangan ini berlarutan sehingga
empat tahun.
Sumpah Setia Damai
Peperangan
ini mengundang kekesalan di kalangan pembesar suku kaum Quraisy. Mereka
mula mencari jalan untuk berdamai. Zubair Bin Abdul Muttalib antara
pembesar yang mahukan jalan perdamaian.
Nabi
Muhammad SAW yang turut bersuara menyatakan baginda tidak menyukai
peperangan dan kekejaman serta membayangkan untuk mengadakan perdamaian
di kalangan penduduk Makkah. Pandangan baginda disambut baik oleh
al-Zubair.
Justeru
al-Zubair menyeru ketua-ketua suku kaum Quraisy untuk berkumpul dan
membuat persetujuan bersama untuk hidup dalam aman damai dan tiada lagi
peperangan. Perjanjian ini diadakan di rumah Abdullah bin Jud’an.
Perjanjian ini dinamakan `Hilf al-Fudul’
Berniaga di Syam
Usia Nabi
Muhammad SAW kini mencecah 25 tahun dan baginda sudah mempunyai pelbagai
pengalaman dalam hidup. Baginda mahu berdikari dan terlibat di dalam
dunia perdagangan.
Begitupun
Baginda tidak mempunyai sebarang harta untuk diperdagangkan. Namun
jiwanya sungguh besar dan mempunyai sifat dan keperibadian yang sungguh
mulia. Berbekalkan jiwa dan sifat mulia dan luhur itu, Baginda menerima
amanah dari Khatijah binti Khuwailid untuk memimpin kafilah dagangannya
ke Syam. Kunjungannya ke Syam merupakan kunjungan kedua. Baginda
ditemani Maisarah.
Nabi
Muhammad SAW mengawal barang-barang dagangan yang dibawanya dengan
berhati-hati. Setelah sampai ke Syam dia memilih tempat yang strategik
untuk menjual barang-barang dagangannya.
Cara-cara
Nabi Muhammad SAW menjual barang amat menarik. Dia menjelaskan keadaan
sebenar barang-barang yang dibawanya dan membubuh tanda harga. Dia
melayan pelanggan dengan mesra jujur dan ikhlas. Kerana sifat mulia
itulah, Nabi akhirnya menjadi orang kepercayaan kepada Khadijah.
Sifatnya yang amanah itu nyata sukar ditemui pada orang lain dan
bermulalah gelaran “al-Amin” buat Nabi Muhammad SAW.
Begitulah
antara cebisan kisah Rasul junjungan mulia kita dari kelahirannya
sehingga berusia 25 tahun. Sejak kecil lagi, baginda sudah diuji dengan
ujian yang sangat berat sehinggakan sukar sekali bagi kita membayangkan
bagaimana baginda boleh membesar dengan begitu sempurna. Permulaan
hidupnya yang dipenuhi kisah sedih adalah permulaan yang akhirnya
membentuk Nabi Muhammad dengan sahsiah mulia dan bersemangat waja.
Moga-moga kita mendapat pengajaran berharga daripada kisah ini.
_________________________________Sumber :
Fiqh Al-Sirahttps://www.facebook.com/abdulkarim.elpati + http://kotasepapan-pati.blogspot.com
0 komentar
Posting Komentar